Wednesday, March 12, 2008

Motivasi Dalaman Mereka Yang Berjaya!



Setiap insan yang hidup di dunia ini mempunyai impian dan cita-cita masing-masing. Semuanya menginginkan sesuatu yang membahagiakan dan menyenangkan jiwa dan hati mereka. Kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan yang merangkumi pelbagai aspek menjadi suatu matlamat dan tujuan setiap manusia walaupun ia mempunyai pelbagai tafsiran dan pandangan mengikut perspektif masing-masing. Untuk berjaya, setiap insan itu memerlukan perubahan. Mereka perlu berhadapan dengan perubahan yang akan menjadikan diri mereka lebih baik dari sebelumnya. Setiap orang mukmin perlu ada semangat dan cita-cita untuk berubah jika mereka inginkan kejayaan dan kecemerlangan menyinari kehidupan mereka.

Perubahan yang dilakukan memerlukan motivasi dalaman yang mantap untuk memastikan perubahan yang dilakukan sentiasa konsisten dan membuahkan hasilkan yang membanggakan. Hari ini kita dikenalkan dengan tokoh-tokoh atau public figure yang masing-masing dikatakan berjaya dalam kerjaya masing-masing. Dalam bidang perniagaan, hampir semua daripada kita mengenali Tan Sri Sheikh Mohktar al-Bukhary. Beliau adalah tokoh perniagaan yang berjaya dan aset hartanya bernilai berjuta ringgit. Selain itu, Dr Irfan Khairi (jutawan Internet), Azizi Ali (jutawan hartanah), Dato’ Azman Chin ( Jutawan MLM), Dato Maznah Hamid dan ramai lagi. Dalam bidang pembangunan diri dan motivasi, kita amat mengenali Dato Dr Mohd Fadzillah Kamsah, HM Tuah Iskandar al-Haj, Dr Shukri Abdullah, Dr Dainal Zainal Abidin, Dr Tengku Asmadi ( Pengasas Motivasi Alihan Pelajar) dan kini muncul pakar motivasi muda seperti Saudara Ahmad Fadzli Yusof, Amin Idris dan ramai lagi. Dalam bidang sasterawan dan seni, kini muncul penulis yang amat berbakat seperti Faisal Tehrani, Nisah Haron, Zaid Akhtar, Fatimah Syarha Noordin dan ramai lagi. Sebenarnya terlalu banyak figure-figure yang kita tahu dan mereka berjaya dalam bidang mereka masing-masing. Kejayaan mereka diiktiraf oleh manusia dan kebanyakan mereka ini dijadikan role model masyarakat dalam menuju puncak kejayaan. Itu belum lagi saya menyebutkan artis-artis dan penyanyi-penyanyi yang menjadi kegilaan dan kesukaan golongan remaja masa kini.

Sekiranya kita amati untuk berjaya kita memerlukan satu kekuatan untuk melakukan perubahan.Motivasi diri yang tinggi amat diperlukan untuk menggerakkan segala perancangan yang dilakukan bagi memperolehi apa sahaja yang dihajati. Apa itu motivasi? Motivasi sebenarnya berasal daripada bahasa Inggeris iaitu motivation. Perkataan ’motivasi’ berasal daripada perkataan ’motive’ dan ’action’. Motive bermaksud sebab, alasan, hujah dan matlamat dan Action pula bermaksud tindakan. Secara umumnya kita boleh katakan motivasi sebagai alasan dan sebab kenapa kita perlu melakukan sesuatu.

Untuk berjaya dalam hidup, setiap insan perlulah mempunyai matlamat dan sasaran yang jelas dalam hidup mereka. Dengan erti kata yang lain orang yang berjaya adalah mereka yang bermatlamat serta wawasan yang tinggi. Mereka mempunyai cita-cita yang tinggi serta mampu melihat jauh ke hadapan dalam membina kejayaan dan keunggulan. Frank Tibolt di dalam bukunya A Touch Of Greatness berkata : ” Biasanya orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang mempunyai matlamat yang jelas dan tidak pernah melupakannya di mana sahaja mereka berada.”
Dalam buku Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah tulisan Dato Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadzli Yusof menyatakan bahawa setiap cita-cita memerlukan sasaran yang jelas dan terperinci dalam hidup. Ia umpama suis menghidup enjin, iaitu Enjin Kejayaan. Minyak yang baik dan bermutu serta berkualiti dapat menghidupkan enjin tadi. Jadi kita umpamakan motivasi ini sebagai minyak yang akan menjana dan menghidupkan enjin untuk menggerakkan bahtera kehidupan ke arah lebih baik.
Sebenar terdapat segolongan manusia yang paling bermotivasi di dalam hidup mereka. Mereka mempunyai cita-cita yang tinggi dan sentiasa berpandangan jauh. Mereka melaksanakan segala perancangan yang mereka lakukan untuk kebaikan mereka dan masyarakat manusia secara umumnya. Mereka inilah para sahabat Rasulullah SAW yang sentiasa bermotivasi untuk mengamalkan ajaran Islam secara bersungguh-sungguh dan akhirnya kerana kesungguhan mereka yang luar biasa inilah Islam dapat tersebar ke seluruh dunia dengan cepat.Mereka adalah seperti Saidina Abu Bakr as-Siddiqi, Umar al-Khattab, Saidina Ali Bin Abi Talib, Uthman Affan, Anas bin Malik al-Ansori, Said bin ’Amir al-Jumahiy, ’Abdullah bin Huzafah as-Sahmiy, Al-Barra bin Malik al-Ansori, ’Ikrimah bin Abu Jahal , Abdullah bin Ummi Maktum dan ramai lagi. Seorang tokoh sasterawan Islam dan gerakan Islam yang terkenal As-Syahid Sayyid Qutb mengelarkan mereka sebagai Jil Nul Quranul Farid atau Generasi Al-Qur’an yang unik. Mereka merupakan generasi yang didik dengan didikan Al-Quran dan AsSunnah. Inilah motivasi dan penggerak terbaik untuk mereka melaksanakan segala tuntutan Islam ke atas mereka.

Sejarah perjalanan hidup mereka perlu kita baca dan hayati untuk dijadikan contoh di dalam hidup kita. Lihatlah bagaimana berbudi dan sopan santunnya mereka dalam pergaulan. Amatilah kesungguhan mereka dalam menunaikan segala perintah Allah SWT dan Rasullah dalam setiap detik kehidupan mereka. Tekunilah pengorbanan mereka untuk mendaulatkan deen Islam yang tercinta. Kehebatan dan kegagahan mereka di medan perjuangan amat mengkagumkan dan mereka sebenarnya contoh tauladan yang unggul untuk dicontohi.

Motivasi bersifat positif terhadap dunia




Tuntutan al-Quran agar manusia aktif dalam mengharungi kehidupan dunia adalah sesuai dengan status dan fungsinya sebagai manusia. Manusia terdiri daripada roh dan jasad.Kedua-duanya memerlukan santapan jasmani dan rohani. Di dalam al-Quran manusia dituntut seimbang antara rohani dan jasmani.
Dari mana manusia mengetahui Islam mengajarkan bahawa jasmani dan rohani harus seimbang?Ternyata kata al-hayaat dan al-mamaat di dalam al-Quran yang jumlah hurufnya sama iaitu enam dan ini berulang sama banyak iaitu 145 kali. Jadi ini salah satu bukti bahawa antara rohani dan jasmani diperintahkan agar seimbang.Jadi salah, jika ditekankan bahawa yang penting adalah solat atau yang penting kerja.
Hakikatnya yang betul adalah solat dikerjakan pada waktu solat dan kerja dilakukan pada waktu bekerja. Inilah yang dituntut oleh agama agar manusia menjalani hidupnya secara realistik.Kejadian manusia yang terindah ini adalah kerana keseimbangan dan kesesuaiannya, sebab itu Islam sahajalah satu-satunya agama yang penuh perseimbangan yang dapat membimbing manusia menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: Bukan yang terbaik di antara kamu yang mendahulukan akhirat sementara dunia ditinggalkan atau mendahulukan dunia sementara akhirat ditinggalkan. Yang terbaik di antara kamu adalah yang menghimpun keduanya.Pemahaman yang tidak komprehensif terhadap ayat-ayat dan hadis-hadis telah mendorong sebahagian orang Islam untuk hidup secara zuhud, menahan diri dari hal-hal yang bersifat duniawi. Sebaliknya mendorong mereka untuk hidup secara solih.Bahkan ada yang hidup secara ekstrem dan berkelakuan seperti rahib dengan menolak segala kemewahan dan kesenangan hidup, tidak mempedulikan makan minum, berpakaian seadanya, tidak memikirkan harta kekayaan dan sebagainya, kerana takut terpedaya oleh pesona dunia.Demikian tanpa sedar manusia yang diperdaya oleh syaitan menyimpang dari as-Shiraath al-Mustaqim dan menbawa kepada sikap ekstrem yang tidak sesuai dengan agama Islam yang sebenar.Secara umumnya memang kehidupan dunia berpotensi besar melalaikan atau melengahkan.
Dalam surah al-Hadid ayat 20 Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasaan (yang mengurang) juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakan harta benda dan anak-anak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke satu masa tertentu), selepas iti engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula keampunan besar serta keredhaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.HakikatHakikatnya ayat ini dan ayat-ayat yang serupa, bukan kecaman terhadap dunia, yang menjadikan seseorang harus mengutuk dan mengabaikannya.
Ayat ini dan ayat-ayat semacamnya, menggambarkan kehidupan duniawi orang-orang yang melalaikan agama. Bagi orang-orang yang beriman mereka menjadikan dunia sebagai ladang untuk akhirat. Mereka berupaya meraih dunia dengan berpedoman nilai-nilai Ilahi, bahkan berusaha menguasainya. Akan tetapi, tidak menjadikan dunia menguasai diri merekaRasulullah adalah dikatakan makhluk yang paling mulia tanpa tandingan. Rahsianya bukan kerana baginda raja atau hartawan dan sebagainya, tetapi hanya kerana baginda adalah sebenar manusia yang dapat mendaki kemuncak kemanusiaannya. Itulah apa yang dikenali sebagai insan Kamil iatu baginda makan dan minum, tidur dan berkahwin seperti manusia lain.Rasul sendiri bersabda: Hiburilah hatimu dari saat ke saat. Beliau membolehkan menyanyi dan mendengarnya, selama nyanyian itu tidak bertentangan dengan nilai-nilai agama. Beliau tertawa, bergurau dan berolahraga. Baginda adalah hamba Allah yang paling bertakwa.Ramai yang silap faham menganggap yang mulia dan bertakwa itu ialah tidak ada langsung kehidupan dunia. Mereka ingin terus berpuasa atau solat tanpa tidur.Rasulullah pernah bersabda bermaksud: akulah yang paling takut dan arif dengan Tuhan kamu semua tetapi aku puasa dan aku berbuka dan aku tidur dan aku bangun berjaga malam untuk solat dan aku kahwini wanita maka siapa yang tidak ingin mengikut sunahku dia bukan umatku.(Riwayat Muslim).Sebenarnya apa yang dimaksudkan kehidupan orang yang bertakwa tidak bererti dunia diabaikan.
Takwa adalah dasar untuk kehidupan dunia dan akhirat. Allah banyak membicarakan di dalam al-Quran bahawa seseorang yang bertakwa akan memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat.Orang yang bertakwa akan mempertahankan perseimbangan dunianya dan akhirat, perseimbangan dalam kehidupan rumah tangga, juga dalam setiap urusan yang lain.Allah mengingatkan bahawa kita tidak boleh meninggalkan masalah dunia dan harus berbuat baik sebagaimana Allah berbuat baik kepada kita.Firman Allah s.w.t. dalam surah An Nisaa’ ayat 134 yang bermaksud: Barangsiapa yang menghendaki pahala di dunia sahaja (maka ia rugi), kerana di sisi Allah ada pahala di dunia dan di akhirat. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.Sekalipun mesej takwa lebih berorientasikan akhirat, seseorang yang bertakwa juga akan mendapatkan dunia.Dalam al-Quran diingatkan, kita harus faham akan kehidupan di dunia. Kalau tidak, di akhirat nanti kita akan kebingungan. Sikap Muslim menghadapi dunia ini harus positif, dengan hidup sebagai khalifah yang mewakili Allah untuk mengatur dan memakmurkan dunia.
Oleh kerana itu manusia diharamkan merendahkan diri terhadap alam raya ini, sebab dengan demikian itu manusia telah menpersendakan rencana dan ketentuan Allah yang memulia dan melebihkan manusia terhadap makhluk-Nya yang lain.Sikap rendah diri atau tidak terdaya menghadapi dunia adalah tercela, kononnya bersikap pasrah kepada dunia. Sikap pasrah dan tawaduk (merendahkan diri) hanya ditujukan kepada Allah yang telah mencipta seluruh isi alam ini untuk manusia.Dengan sikap sebagai khalifah atau pengurus alam ini, manusia akan mampu menakluki alam dengan mengembangkan ilmu pengetahuan mereka tentang sunah Allah yang mengatur alam ini. Motivasi bersifat positif terhadap dunia

Tuesday, March 11, 2008

Apakah kawalan kendiri?


Kawalan kendiri (self-control)merupakan salah satu kemahiran yang penting serta perlu dikuasai oleh para pelajar.mengikut definisi "self-control is the ability to make choices about ho eone behaves and acts rather than relying on impulses". Dalam erti kata yang lain kemahiran ini membolehkan pelajar mengawal serta membuat pilihan terhadap sebarang tindakan yang dilakukan tanpa hanya mengikut naluri secara membabi buta. Oleh yang demikian pelajar akan mempunyai pendirian sendiri tanpa terlalu bergantung kepada keputusan orang lain atau cuba meniru tindakan rakan-rakan.

Antara ciri-ciri yang boleh diwujudkan pada diri jika seseorang itu mampu mengawal dirinya sendiri ialah menyedari bahawa dalam sepanjang kehidupan,sebarang perubahan yang hendak dilakukan perlulah bermula dengan perubahan diri sendiri dahulu. Selain itu tidak mudah di pengaruhi oleh rakan sebaya, mampu berfikir dan membezakan di antara perkara baik atau buruk.Berkemampuan menentukan hala tuju sendiri berpandukan bimbingan nasihat dan panduan dari pihak tertentu malahan juga mampu menempuh cabaran serta mencari jalan penyelesaian. Antara lain mereka mampu membentuk dam mengawal kehendak dalaman (inner desive) secara bijak ciri-ciri diatas adalah perlu terutamanya dalam kalangan pelajar-pelajar sekarang.

Pemilihan melanjutkan pelajaran, pemilihan kursus serta pemilihan kerjaya harus ditentukan oleh pelajar sendiri tanpa hanya mengikut kehendak orang lain. Ini untuk mengelakkan daripada mengalami perasaan bosan serta tidak berminat dalam bidang yang diceburi nanti. Begitu juga dengan masalah gejala samseng di sekolah yang berpunca dengan ikutan perlakuan pelajar-pelajar tanpa dapat membezakan kesan baik atau buruk. Perkara ini berlaku kerana mereka tidak mempunyai pendirian serta mampu mengenal diri secara rasional.

Wednesday, March 5, 2008

Motivasi kendiri


Motivasi diri sendiri adalah tenaga yang mengangkat diri seseorang itu ke sebarang tahap yang diingininya. Orang yang benar-benar berjaya sentiasa sedar akan tanggungjawabnya dalam motivasi diri sendiri. Dia memulakan dari dirinya sendiri, kerana dialah yang memiliki kunci penggerak dirinya.

Alasan yang lumrah yang menyebabkan kegagalan seseorang itu ialah kerana mengabaikan sama sekali tenaga motivasi diri sendiri.
Adalah mustahil untuk memotivasikan diri orang lain, sebelum kita belajar memotivasikan diri kita sendiri. Peluang akan berada di mana-mana bagi seseorang yang mengerti dan mengunakan motivasi diri sendiri.

Orang yang bermotivasi diri sendiri melibatkan diri, orang-orang biasa hanya berjanji.
Pada asasnya apa yang kita perolehi dari hidup ini bergantung kepada bagaimana kita menyesuaikan apa yang kita mahu dengan motivasi diri sendiri.


Tenaga motivasi diri sendiri datang dari satu tindakan rancangan peribadi teguh dan pelaksanaan rancangan tersebut dalam kehidupan anda setiap hari.Jika kita tidak dapat memanafaatkan tenaga anda dan potensi anda sendiri maka mental kita akan terlantar sepanjang hayat.

Sunday, March 2, 2008

Nilai Tambah



Sebagai mahasiswa dan mahasiswi Timur Tengah, sudah tentu, kitalah yang menjadi harapan bangsa dan tanahair untuk membangunkan negara dan agama. Mungkin ada di kalangan kita yang merasa terpaksa datang ke bumi padang pasir ini kerana arahan keluarga ataupun keputusan peperiksaan yang tidak mampu memberi harapan untuk ke mana-mana selain ke sini.
Sebenarnya, masih belum terlewat untuk memperbaiki diri, belum terlajak untuk muhasabah sekali lagi, apa tujuan, apa matlamat permusafiran ini. Sekiranya niat yang bersih, yang berkualiti, manis bumbunya kerana Allah, maka, selagi kaki berpijak di sini, selagi itulah peluang motivasi kendiri terbuka lagi.

Renungkan Nilai


Perhatikan nilai diri kita. Adakah bertambah selaras peningkatan ilmu di dada dan minda, iman di atma, atau sering merudum dengan pelbagai dugaan melanda? Adakah nilai diri kita layak membawa kita ke syurga? Atau sekadar menjadi semut dunia?

Sudah kolektifkah kerja kita? Sudah maniskah ukhuwah kita? Sudah putihkah amal dan niat kita? Makin positifkah intelektual kita atau kian negatifkah ia kerana terlebih gula?

Di Mana Letaknya Nilai Anda?


Saya suka mengambil perumpamaan madu dan gula dikaitkan dengan entiti utama dalam masyarakat iaitu wanita. Madu lebih bernilai daripada gula, madu menyihatkan, sedangkan gula merosakkan. Sebab itu, apabila semut terlalu banyak makan gula, dia akan mati dalam bekas gula. Semut tidak menghurung madu kecuali madu yang tidak asli (campuran gula).
Jadi di sini letaknya nilai madu. Wanita sering menjadi objek sasaran semut yang tidak punya nilai spiritual dan intelektual yang tinggi. Cuba kita lihat wanita yang berkecimpung di dalam kerjaya yang menjatuhkan akhlak, betapa banyaknya semut yang menghurung mereka? Wajah yang 'putih' diiklankan. Maruah yang 'manis' diperdagangkan. Akhirnya, semut-semut ini juga turut rosak setelah gula sukrosa wanita terlalu banyak dimamah!

Sedangkan madu pula, walaupun pahit, kata orang-orang yang berumahtangga, namun sebenarnya ia sangat manis. Madu yang baik adalah madu yang asli yang dikumpulkan dan didapatkan dengan begitu susah payah. Terpelihara di dalam sarang lebah, maka cara mendapatkannya melalui jalan-jalan yang sukar, memanjat gunung dan pokok, gua pun ada. Begitulah ibarat wanita solehah yang disukai ramai, tapi tak ramai yang mampu memilikinya.

Persoalannya, adakah anda, wahai wanita (juga lelaki), sebagai gula atau madu?

Lelaki pasangannya wanita. Gula pasangannya semut. Madu pasangannya lebah. Mari kita lihat pula, apa peranan semut. Semut walaupun dari sudut kekuatan fizikalnya mampu mengangkat berat melebihi berat tubuhnya sendiri, tetapi dia tidak mampu untuk makan melebihi hadnya. Sebab itu, semut tidak boleh makan banyak gula, kelak membawa kematian. Semut secara relatifnya mempunyai jumlah yang lebih besar berbanding lebah.

Lebah pula mengumpul nektar daripada bunga dan dikumpulkan di sarang sehingga akhirnya menjadi madu. Walaupun jumlah lebah sedikit berbanding semut, (ya, Saidina Umar sering berdoa dijadikan dari kalangan golongan yang sedikit, juga hanya sedikit manusia yang dapat masuk syurga) namun berkat kerja yang kolektif, dan berwawasan, lebah dapat mengumpulkan madu yang berkualiti. Wahai para lelaki (wanita juga), setakat manakah kemampuan diri anda? Adakah bilangan sahaja yang ramai tetapi tidak mampu menghasilkan apa-apa, atau sedikit individunya namun menggegarkan dunia?

Nilai Diri...


Setiap manusia, mempunyai nilainya yang tersendiri. Sama ada nilai itu ditetapkan oleh undang-undang ciptaan manusia seperti sistem nilai dalam masyarakat ataupun yang diwahyukan kepada manusia sebagaimana di dalam firman Allah: "Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa". Kedua-dua sumber penilaian ini, memberi kesan kepada kehidupan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Nilai diri yang dikutip daripada elemen-elemen spiritual, fizikal dan intelektual ini, membentuk peribadi kita selaku manusia yang berinteraksi antara satu sama lain. Nilai diri manusia yang positif adalah seumpama madu sedangkan yang negatif pula bagaikan gula. Nilai madu berbeza jika dibandingkan dengan gula, menjadikan madu lebih istimewa, lebih mahal dan sering dicari, walaupun kadangkala gula juga dicari kerana kehabisan di pasaran. Senyum.

Sifat kejayaan


Disini terdapat 4 ciri bagaimana seseorang itu berjaya.antaranya mereka yang berfikiran yang tetap.kita haruslah tetapkan matlamat kita untuk diri sendiri didalam satu jangka masa yang ditentukan.pastikan jangka masa itu matlamat tercapai.bagi ciri kedua pula iaitu perancangan kita,dimana kemahuan hendaklah dirancang terlebih dahulu.manakala yang ketiga pula semangat dan azam kita,seharusnya kita menanamkan azam yang kuat dan semanagat yang kental hendaklah dipupuk dengan sempurna.seterusnya ciri yang yang keempat iaitu percaya diri sendiri.ini amat penting dalam diri kita kerana kepercayaan kepada diri sendiri dan kebolehan sendiri hendaklah diutamakan.

Sifat kegagalan

Pertamanya bagi mereka yang tidak ada keyakinan pada diri sendiri.tidak yakin akan dirinya dan kemampuan untuk melaksanakan usaha atau kerja yang dihadapinya.kedua bagi mereka yang suka melengah-lengah kerja.antaranya melengahkan keputusan penting,tidak mahu mengambil risiko dan mengharapkan masalah selesai dengan sendirinya akan memburukkan keadaan.ketiga sifat yang suka berpura-pura.sikap egoistik dan memandang status sentiasa ingin disanjungi tetapi tidak mahu berfikir dan maju ke hadapan.manakala sifat keempat pula iaitu sifat mementingkan diri sendiri,dimana mereka tidak bertanggungjawab dan tidak mengambil berat tentang apa sekali pun serta berpuas hati dengan apa yang ada tanpa berusaha lagi.seterusnya sifat kegagalan yang kelima iaitu hidup tanpa arah tujuan kerana mereka tidak mempunyai cita-cita untuk menikmati kehidupan yang lebih bermakna.