Wednesday, March 12, 2008

Motivasi Dalaman Mereka Yang Berjaya!



Setiap insan yang hidup di dunia ini mempunyai impian dan cita-cita masing-masing. Semuanya menginginkan sesuatu yang membahagiakan dan menyenangkan jiwa dan hati mereka. Kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan yang merangkumi pelbagai aspek menjadi suatu matlamat dan tujuan setiap manusia walaupun ia mempunyai pelbagai tafsiran dan pandangan mengikut perspektif masing-masing. Untuk berjaya, setiap insan itu memerlukan perubahan. Mereka perlu berhadapan dengan perubahan yang akan menjadikan diri mereka lebih baik dari sebelumnya. Setiap orang mukmin perlu ada semangat dan cita-cita untuk berubah jika mereka inginkan kejayaan dan kecemerlangan menyinari kehidupan mereka.

Perubahan yang dilakukan memerlukan motivasi dalaman yang mantap untuk memastikan perubahan yang dilakukan sentiasa konsisten dan membuahkan hasilkan yang membanggakan. Hari ini kita dikenalkan dengan tokoh-tokoh atau public figure yang masing-masing dikatakan berjaya dalam kerjaya masing-masing. Dalam bidang perniagaan, hampir semua daripada kita mengenali Tan Sri Sheikh Mohktar al-Bukhary. Beliau adalah tokoh perniagaan yang berjaya dan aset hartanya bernilai berjuta ringgit. Selain itu, Dr Irfan Khairi (jutawan Internet), Azizi Ali (jutawan hartanah), Dato’ Azman Chin ( Jutawan MLM), Dato Maznah Hamid dan ramai lagi. Dalam bidang pembangunan diri dan motivasi, kita amat mengenali Dato Dr Mohd Fadzillah Kamsah, HM Tuah Iskandar al-Haj, Dr Shukri Abdullah, Dr Dainal Zainal Abidin, Dr Tengku Asmadi ( Pengasas Motivasi Alihan Pelajar) dan kini muncul pakar motivasi muda seperti Saudara Ahmad Fadzli Yusof, Amin Idris dan ramai lagi. Dalam bidang sasterawan dan seni, kini muncul penulis yang amat berbakat seperti Faisal Tehrani, Nisah Haron, Zaid Akhtar, Fatimah Syarha Noordin dan ramai lagi. Sebenarnya terlalu banyak figure-figure yang kita tahu dan mereka berjaya dalam bidang mereka masing-masing. Kejayaan mereka diiktiraf oleh manusia dan kebanyakan mereka ini dijadikan role model masyarakat dalam menuju puncak kejayaan. Itu belum lagi saya menyebutkan artis-artis dan penyanyi-penyanyi yang menjadi kegilaan dan kesukaan golongan remaja masa kini.

Sekiranya kita amati untuk berjaya kita memerlukan satu kekuatan untuk melakukan perubahan.Motivasi diri yang tinggi amat diperlukan untuk menggerakkan segala perancangan yang dilakukan bagi memperolehi apa sahaja yang dihajati. Apa itu motivasi? Motivasi sebenarnya berasal daripada bahasa Inggeris iaitu motivation. Perkataan ’motivasi’ berasal daripada perkataan ’motive’ dan ’action’. Motive bermaksud sebab, alasan, hujah dan matlamat dan Action pula bermaksud tindakan. Secara umumnya kita boleh katakan motivasi sebagai alasan dan sebab kenapa kita perlu melakukan sesuatu.

Untuk berjaya dalam hidup, setiap insan perlulah mempunyai matlamat dan sasaran yang jelas dalam hidup mereka. Dengan erti kata yang lain orang yang berjaya adalah mereka yang bermatlamat serta wawasan yang tinggi. Mereka mempunyai cita-cita yang tinggi serta mampu melihat jauh ke hadapan dalam membina kejayaan dan keunggulan. Frank Tibolt di dalam bukunya A Touch Of Greatness berkata : ” Biasanya orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang mempunyai matlamat yang jelas dan tidak pernah melupakannya di mana sahaja mereka berada.”
Dalam buku Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah tulisan Dato Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadzli Yusof menyatakan bahawa setiap cita-cita memerlukan sasaran yang jelas dan terperinci dalam hidup. Ia umpama suis menghidup enjin, iaitu Enjin Kejayaan. Minyak yang baik dan bermutu serta berkualiti dapat menghidupkan enjin tadi. Jadi kita umpamakan motivasi ini sebagai minyak yang akan menjana dan menghidupkan enjin untuk menggerakkan bahtera kehidupan ke arah lebih baik.
Sebenar terdapat segolongan manusia yang paling bermotivasi di dalam hidup mereka. Mereka mempunyai cita-cita yang tinggi dan sentiasa berpandangan jauh. Mereka melaksanakan segala perancangan yang mereka lakukan untuk kebaikan mereka dan masyarakat manusia secara umumnya. Mereka inilah para sahabat Rasulullah SAW yang sentiasa bermotivasi untuk mengamalkan ajaran Islam secara bersungguh-sungguh dan akhirnya kerana kesungguhan mereka yang luar biasa inilah Islam dapat tersebar ke seluruh dunia dengan cepat.Mereka adalah seperti Saidina Abu Bakr as-Siddiqi, Umar al-Khattab, Saidina Ali Bin Abi Talib, Uthman Affan, Anas bin Malik al-Ansori, Said bin ’Amir al-Jumahiy, ’Abdullah bin Huzafah as-Sahmiy, Al-Barra bin Malik al-Ansori, ’Ikrimah bin Abu Jahal , Abdullah bin Ummi Maktum dan ramai lagi. Seorang tokoh sasterawan Islam dan gerakan Islam yang terkenal As-Syahid Sayyid Qutb mengelarkan mereka sebagai Jil Nul Quranul Farid atau Generasi Al-Qur’an yang unik. Mereka merupakan generasi yang didik dengan didikan Al-Quran dan AsSunnah. Inilah motivasi dan penggerak terbaik untuk mereka melaksanakan segala tuntutan Islam ke atas mereka.

Sejarah perjalanan hidup mereka perlu kita baca dan hayati untuk dijadikan contoh di dalam hidup kita. Lihatlah bagaimana berbudi dan sopan santunnya mereka dalam pergaulan. Amatilah kesungguhan mereka dalam menunaikan segala perintah Allah SWT dan Rasullah dalam setiap detik kehidupan mereka. Tekunilah pengorbanan mereka untuk mendaulatkan deen Islam yang tercinta. Kehebatan dan kegagahan mereka di medan perjuangan amat mengkagumkan dan mereka sebenarnya contoh tauladan yang unggul untuk dicontohi.

No comments: